KEBANYAKAN orang tahu makanan segera mengandungi banyak lemak dan kalori, tinggi kandungan garam dan kaya dengan lemak tepu.

Isu mengaitkan makanan segera dengan pelbagai gejala kesihatan bukan perkara baru, malah sering menjadi perdebatan hangat di luar negara sehingga ada yang ingin mengheret pengusaha makanan segera ke mahkamah atas alasan ia menyebabkan masalah kesihatan, termasuk kegemukan.
Bermula dari hujung minggu lalu, isu makanan segera timbul dan hebat dibincangkan apabila kerajaan bercadang mengharamkan semua iklan makanan segera. Banyak pihak menyokong dan tidak kurang juga memberi pandangan bernas untuk menangani isu ini.
Pada dasarnya langkah ini disambut baik dengan harapan dapat membentuk rakyat lebih sihat. Malangnya, tindakan dan harapan tidak semestinya seiringan berdasarkan pengalaman negara Barat yang mencuba tetapi kesan jangka panjangnya masih kabur.
Jika boleh diguna sebagai contoh, pengharaman iklan rokok (yang jelas keburukannya) masih tidak dapat mengurangkan jumlah perokok di negara ini, kata Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO), Profesor Dr Mohd Ismail Noor.
Malah, pengalaman negara Barat mencuba pelbagai cara bagi menyebarkan keburukan makanan segera, termasuk membangkitkan isu asid lemak trans, juga tidak berjaya mengurangkan jumlah pengambilan makanan yang dikatakan berbahaya itu di kalangan rakyatnya.
Sesetengah negara mengharamkan iklan makanan segera yang disiarkan ketika slot rancangan kanak-kanak, khususnya pada waktu pagi. Ada cadangan untuk membenarkan tayangan selepas jam 9 malam kerana ketika ini umumnya kanak-kanak sudah tidur.
“Apa yang dimaksudkan dengan makanan segera? Secocok namanya, makanan segera mudah disediakan dan segera dihidang, digunakan sebagai alternatif kepada masakan di rumah, ringkas dan tidak terlalu mahal berbanding makanan ringan yang hanya mengandungi kalori dan tiada zat, makanan segera mengandungi pelbagai zat tetapi dalam jumlah berlebihan.
“Sejak dulu lagi makanan segera sering dilabel sebagai makanan tinggi kalori, kolesterol, lemak tepu dan garam. Dalam konteks ini, timbul persoalan yang tidak kurang pentingnya. Bagaimana kita mengkategorikan makanan kegemaran kita yang didapati di gerai seperti nasi dan mi goreng mi bandung, mi kari, nasi dagang, nasi beriani dan nasi minyak yang mengandungi antara 400 hingga 637 kalori sepinggan dan sering masin,” katanya.
Prinsip asas pemakanan ialah BMV (keseimbangan, sederhana dan pelbagai). Tiada makanan boleh dikategorikan sebagai ‘baik’ atau ‘tidak baik’ kerana kebaikan atau keburukan sesuatu makanan bergantung kepada pemilihan dan corak pemakanan seseorang individu. Makanan yang dianggap ‘baik’ boleh memudaratkan jika diambil secara berlebihan.
Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama Nestle (M) Berhad pada 2002 ke atas lebih kurang 12,000 kanak-kanak sekolah di Semenanjung berumur enam hingga 12 tahun terhadap pengambilan makanan segera mendapati:
> 50 peratus — sebulan sekali
> 20 peratus — seminggu sekali
> Lima peratus — lebih dua kali seminggu
> 15 peratus — setiap hari
Berdasarkan kajian ini dan soal selidik untuk peringkat umur yang lain juga, makanan segera menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat kita. Mengikut rekod, syarikat makanan segera bertapak selama 30 hingga 40 tahun di negara kita dan untuk mengurangkan pengaruhnya dalam kehidupan kita adalah cabaran besar.
Apa rahsia menyebabkan restoran segera mempunyai daya tarikan kuat sehingga ada sesetengah menjadikan kunjungan ke tempat begini sebagai agenda utama keluarga?
Dr Ismail berkata, selain mempelbagaikan menu yang disaji, tarikan utama restoran makanan segera ialah keselesaan, kebersihan, suasana menarik, harga berpatutan serta perkhidmatan cepat dan mesra.
“Persoalan sama ada makanan segera menjadi punca masalah peningkatan kadar kegemukan dan obesiti perlu dilihat secara lebih menyeluruh. Banyak penyakit yang wujud sekarang bukan berpunca daripada makanan semata-mata, tetapi disebabkan gaya hidup.
“Tidak kira sama ada mengambil makanan segera atau ‘biasa’ yang pentingnya ialah perlu ada keseimbangan tenaga. Rakyat kita banyak makan tetapi kurang bersenam. Masalah timbul apabila pengambilan tenaga berlebihan daripada penggunaan tenaga (aktiviti harian) dalam jangkamasa panjang. Mungkin kita perlu fikir semula kenyataan ‘makan untuk hidup’ mengapa tidak ‘bersenam untuk hidup?’
“Akibat kurang bersenam dan tidak melakukan aktiviti yang banyak menggunakan tenaga, tenaga berlebihan daripada makanan disimpan sebagai lemak. Lama kelamaan kandungan lemak bertambah yang menyebabkan masalah kegemukan dan obesiti,” katanya.
Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan obesiti sebagai penyakit kronik, tetapi masih ramai tidak mengendahkannya. Selain individu yang ada masalah kegemukan akibat genetik (keturunan), secara umumnya kebanyakan orang boleh makan apa saja yang diingini tetapi dengan syarat perlu bersenam.
Malangnya, perkara penting ini sering diabaikan. Apabila terlalu gemuk, macam-macam cara dicuba untuk kurus cepat sehingga ada yang sanggup mengambil produk pelangsing badan berbahaya dan tidak diketahui kesan jangkamasa panjang dan mungkin boleh membawa maut seperti dilaporkan baru-baru ini.
Selain cadangan mengharamkan iklan makanan segera, beliau berpendapat kerajaan perlu memikirkan alternatif lain seperti menaikkan cukai makanan segera dan makanan tinggi kandungan lemak (sin-tax atau fat-tax) seperti diamalkan di beberapa negara maju.
Harga boleh mempengaruhi kekerapan pengguna mengunjungi restoran makanan segera. Harga juga akan membuat orang berfikir dua kali sebelum berbelanja. Dana yang diperoleh daripada cukai berkenaan boleh digunakan bagi tujuan penyelidikan dan aktiviti pendidikan tabiat pemakanan sihat di kalangan rakyat negara kita.
Namun perkara paling sukar ialah membuat perubahan tingkah laku. Banyak kempen kesihatan diadakan, malah masyarakat sedar dan tahu mengenai gaya pemakanan sihat, tetapi masih ramai tidak sedia berubah.
Sejak kebelakangan ini disebabkan tekanan dan peningkatan kesedaran pengguna mengenai pemakanan, beberapa restoran makanan segera menawarkan sajian sihat seperti salad, tetapi ia mungkin kurang popular di kalangan rakyat negara kita yang biasa makan makanan ‘berat’ dan berbaloi dengan wang dibelanjakan.
Berdasarkan kajian kekerapan mengunjungi restoran makanan segera, ibu bapa perlu menjalankan fungsi mereka untuk mendidik anak dan menerapkan tabiat pemakanan sihat dalam keluarga. Makanan tidak harus dijadikan ‘hadiah’ untuk menghargai kebaikan dilakukan anak, terutama jika ada yang mengalami masalah berat badan berlebihan.
Negara kita kaya dengan pelbagai jenis makanan dan makanan segera adalah satu daripadanya. Sama ada iklan makanan segera diharamkan atau tidak, paling penting ialah kesediaan masyarakat untuk berubah kerana pilihan ada pada diri setiap individu. Memang kita boleh tepuk dada dan tanya selera, tetapi fikirkan juga kesan jangka panjangnya.
p/s: di petik dr portal Hospital Kulim (Zuwairi)
No comments:
Post a Comment